Tuesday, 14 April 2015

Kerjaya, Pengajian Bidang Perakaunan

Perakaunan juga merupakan bidang kerjaya yang penting serta diperlukan oleh mana-mana institusi. Hal ini kerana hampir semua institusi beroperasi berorientasikan  keuntungan serta mempunyai hal-hal berkaitan pengurusan melibatkan pengendalian kewangan termasuk belanjawan mengurus, menjaga kemudahan, serta penambahbaikan institusi. Apa sahaja pengurusan dan urusniaga pasti melibatkan duit dan tugas akauntanlah untuk mengenalpasti serta menyusun segala aliran keluar masuk serta aggaran belanjawa, penyata belanja supaya memudahkan pengurusan menganggar serta membuat tindakan.

Persoalan Berkaitan Pengajian Perakaunan

Saya selalu menerima soalan berkaitan kerjaya akauntan ini, antara soalan yang ditanya ialah:
Apakah tugas sebagai akauntan?, Apa lagi kerja yang boleh dimohon oleh lulusan perakaunan?, Apakah kriteria untuk menjadi seorang akauntan?, Apakah kelulusan untuk memohon akauntan? Lepas belajar kerja dimana?, Apakah syarat kemasukan ke pengajian perakaunan?, Apakah beza akauntan, penolong akauntan dan kerani akaun?.
Untuk itu, saya ada sediakan sedikit informasi jawapan kepada soalan-soalan yang diajukan.

Kerjaya Sebagai akauntan

Untuk menjadi seorang akauntan semestinya mempunyai ijazah sarjana muda dan keatas. Kerjaya akauntan ini adalah tergolong dalam kategori professional setaraf dengan kerjaya pemegang ijazah lain dimana setiap jawatan dimulakan dengan perkataan “ Pegawai “.

Tugas Akauntan

  • Mengira dan menyediakan jadual cukai, memberi nasihat mengenai masalah pencukaian institusi bertugas/ individu
  • Menyediakan dan mengesahkan penyata kewangan untuk dibentangkan kepada pihak pengurusan, pemegang saham, badan berkanun dan badan-badan lain,
  • Menyediakan atau melaporkan ramalan keuntungan dan belanjawan,
  • Memberi nasihat, merancang dan melaksanakan dasar dan system belanjawan, kawalan akaun dan perakaunan lain,
  • Menjalankan penyiasatan kewangan, melaksanakan audit, menyediakan laporan dan memberi nasihat mengenai perkara seperti penipuan yang disyaki, ketidakmampuan, kebankrapan, penyatuan, pembiayaan modal serta pembelian dan penjualan perniagaan;
  • Bertindak sebagai ejen pembubaran dalam perkara berhubung dengan kebankrapan dan percukaian,
  • Tugas penyeliaan berkaitan kewangan dan penyata kewangan individu / institusi.

Kelayakan Am Pengajian

SPM atau setaraf sekurang-kurang 5 kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik, Fizik dan Matematik Tambahan ATAU lulus STPM gred E dalam Kertas Am, Matematik, Fizik atau berkaitan.
Selepas SPM perlu sambung ke diploma perakaunan/ setaraf atau mengikuti terus ke ijazah sarjana muda perakaunan /setaraf.

Pekerjaan yang setaraf yang juga boleh dimohon

Graduan perakaunan ini juga boleh memohon jawatan lain seperti juruaudit, akauntan kos, bendahari, akauntan cukai, setiausaha syarikat, setiausaha industri atau peribadi, kerani akaun, penolong akauntan serta juru runding.

Prospek Kerja

Kebiasaanya lulusan ini berpeluang ke institusi kerajaan atau swasta. Bagi di sektor awam, jawatan-jawatan di jabatan-jabatan kerajaan, badan berkanaun dan penguasa tempatan boleh diisi. Manakala di sektor swasta pekerjaan di badan-badan industri, bank, firma perakaunan serta syarikat insuran boleh diisi.

Kerjaya Sebagai Penolong Akauntan

Untuk kerjaya penolong akauntan, ia mempunyai skop tugas yang sama dengan Pegawai Akauntan. Cuma perbezaan adalah kerja-kerja pembantu untuk tugas-tugas Pegawai akauntan.
Dari segi kelulusan pula berbeza dengan penolong akauntan ini perlu mempunyai diploma. Diploma yang berkaitan seperti Diploma Pengajian Bank, Diploma Perakaunan, pengajian perdagangan atau setaraf.

Syarat am pengajian

SPM atau setaraf dengan kepujian dalam Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik dan 3 subjek lain. ( Tidak tetap )

Kerjaya kerani Akaun

Secara umum tugas kerani akaun lebih kepada tugas menyedia kira-kira untuk dilapor kepada penolong akauntan atau Pegawai akauntan.

Antara tugas kerani akaun ialah :

  • Mencatatkan, memasukkan dalam rekod perakaunan dan simpanan kira
  • Membuat pengiraan yang sewajarnya
  • Melaksanakan fungsi perakaunan dan simpanan kita yang terhad
  • Mengira kos pengeluaran dan pengendalian
  • Menyediakan senarai gaji dan rekod yang berkaitan untuk gaji pekerja dan bagi tujuan penyimpanan rekod berkanun.
  • Menyediakan invois, menerima dan membayar wang, menyimpan rekod transaksi, mengeluarkan resit dan menunaikan cek.
  • Menyediakan dokumen kewangan dan mengira faedah atau caj broker dan duti sahan yang perlu dibayar.
  • Memproses dokumentasi dan menyelenggara rekod bon, saham dan sekuriti lain yang dibeli atau dijual bagi pihak pelanggan atau Majikan.
  • Memeriksa, menilai dan memproses Permohonan kredit atau pinjaman serta menyediakan syarat-syarat pinjaman dan butiran terperinci bayaran balik bagi pinjaman yang diluluskan.
  • Memberi bantuan dalam menyediakan penyata cukai syarikat dan menjawab pertanyaan mengenai cukai.
  • Menjalankan tugas-tugas yang berkaitan.
  • Menyelia pekerja lain.
Diharapkan informasi diberi berkaitan bidang perakaunan ini mampu membantu dalam pemilihan kerjaya serta hala tuju pendidikan. Sebarang pilihan haruslah disusuli dengan usaha yang gigih untuk memastikan segala impian menjadi kenyataan.


Sumber : Kerjaya, Pengajian Bidang Perakaunan 

http://www.xpresi.org/kerjaya-pengajian-bidang-perakaunan/

No comments:

Post a Comment